Saturday, May 17, 2008

PANGGILAN SANTAU KARUT - Harian Metro









SMS memberi peringatan yang saya terima


Dua tiga hari sudah, heboh satu Malaysia tentang "panggilan santau" atau "tarik nyawa" yang kononnya sesiapa yang menerima panggilan tersebut akan menerima ajal. Amaran berkaitan "panggilan santau" tersebut telah tersebar luas di Malaysia dan saya juga tidak terkecuali dari menerima peringatan berkenaan.

SMS tersebut berbunyi demikian "JIKALAU ANDA MENDPT PNGGILAN TLFON YG BRNOMBOR PANJANG Cnth: +62852731520946 DAN NMBR ITU BRWARNA MERAH,DHRAP2 SGT JGN DIANGKT DAN DJWB PANGGILAN ITU.INI KERANA DI INDONESIA SKRG, SEKUMPULAN PENUNTUT ILMU HITAM SDG MENGUJI ILMU MEREKA MELALUI TELEFON,JIKA SESIAPA YG MENJWB PNGGLA ITU MULUT AKAN BERGUIH DAN AKAN MATI SLPS ITU.DI INDONESIA SDH 9 ORG MATI DAN MLM TD DIPUCHONG 2 ORG MATI.INI BNR2 TRJADI,TLG SEBARKAN MSG".

Semalam, Jumaat May 16, 2008, Harian Metro telah merungkai perkara berkenaan seperti yang dilaporkan di akhbar berkenaan. Berikut diperturunkan laporan berkenaan untuk tatapan pembaca yang mungkin masih belum mendapat maklumat terkini berkaitan "Panggilan Santau" tersebut.- Blog Administrator

Panggilan santau karut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Amir Abdul Hamid, Salman Hamat, Norfaisal Jahuri dan Sulaiman Salleh am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menggemparkan! Ramai pengguna telefon bimbit mula panik berikutan penyebaran SMS yang meminta orang ramai berhati-hati dengan panggilan santau atau ‘tarik nyawa’ yang kononnya boleh membunuh mereka sejurus menjawab panggilan itu.

Lebih menakutkan apabila kandungan SMS itu mendakwa panggilan maut itu sudah meragut sembilan nyawa di Indonesia sejak bulan lalu dan kini mula menular kepada jutaan pengguna telefon di negara ini bagi menagih korban terbaru.

Kemunculan SMS peringatan berhubung panggilan maut yang kini amat digeruni penduduk Indonesia dikesan mula diterima pemilik telefon bimbit di negara ini sejak minggu lalu dengan amaran supaya tidak menjawab panggilan telefon daripada nombor melebihi lapan angka itu.

Malah, panggilan terbabit yang turut digelar di Indonesia sebagai panggilan santet, deringan syaitan atau telefon maut, didakwa angkara pengamal ilmu hitam yang kononnya mahu menguji tahap keberkesanan ilmu hitam dipelajari.

Berdasarkan laporan media utama Indonesia, penerima panggilan itu bakal menjadi mangsa ‘kes pembunuhan jarak jauh’ didalangi dukun ilmu hitam yang menghantar syaitan atau jin melalui panggilan telefon untuk membunuh mangsa.

Bagaimanapun, dakwaan terbabit dianggap tidak berasas kerana tiada yang dilaporkan mati setakat ini berkaitan penerimaan panggilan maut yang kini merebak ke Malaysia, dipercayai dibawa rakyat negara berkenaan.

Siasatan dilakukan pihak berkuasa Indonesia mendapati nombor pengirim SMS itu berasal dari Sumatera Selatan dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Susulan maklumat dikumpulkan, seorang remaja perempuan yang disyaki mencipta dan menghantar SMS terbabit sudah ditahan minggu lalu oleh polis Indonesia di Riau.

Selepas disoal siasat, remaja terbabit mengaku menyebarkan SMS itu hanya untuk gurauan kepada rakannya.

Perkara itu didedahkan Ketua Bahagian Umum Direktorat Jenderal Pos dan Telekomunikasi Indonesia, S Dewabrata kepada media, Selasa lalu, yang mendakwa SMS terbabit dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu bagi mengaut keuntungan selain meningkatkan jumlah pelanggan talian prabayar.

Bagaimanapun, kegemparan mengenai kes itu berterusan apabila laman web berita Kompas.Com semalam melaporkan, seorang pegawai bank ABN di Jalan Petamburan, Jakarta, menjadi individu terbaru menerima panggilan berkenaan selepas M Fani Bratawijaya, 25, sebelah tengah hari.

Pejabat Harian Metro di sini, Melaka dan Seremban turut dihujani panggilan telefon bertanyakan mengenai SMS terbabit.

Mesej sepanjang 73 perkataan itu menyatakan kumpulan terbabit akan menghubungi sesiapa menerusi talian antarabangsa secara rambang dan sebaik saja mangsa menjawab panggilan itu mereka kononnya akan mati terkena sihir.

Pengguna telefon bimbit talian prabayar, Ismail Che Nordin, 42, turut melahirkan kegelisahan selepas menerima SMS terbabit sebaik tiba di pejabatnya di Taman Segar, Cheras, pagi semalam.

Menurutnya, kemunculan SMS itu boleh mencetuskan ketakutan kepada orang ramai yang menyangka panggilan santau benar-benar wujud dan boleh mendatangkan malapetaka kepada pemilik telefon bimbit.

“Lebih menakutkan apabila SMS terbabit mendakwa dua mangsa di Puchong sudah mati dan meminta disebarkan kepada umum,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat di Selayang di sini.

Di SEREMBAN, seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali Sufiah berkata, dia mengetahui mengenai penyebaran SMS itu daripada beberapa rakan sekerjanya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, dia menerima SMS itu petang semalam yang mengingatkannya supaya mengambil langkah pencegahan awal apabila menerima panggilan daripada kumpulan yang dikatakan sedang menguji ilmu hitam.

“Kami mengharapkan pihak yang berkenaan menyiasat penyebaran SMS terbabit kerana boleh menjejaskan akidah kalau ada orang yang percaya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dia juga berharap supaya mereka yang menerima SMS itu tidak menghantarnya kepada orang lain kerana sukar diterima akal.

“Bagaimana orang yang menulis SMS itu boleh mengetahui berapa ramai yang sudah meninggal dunia sedangkan kes seperti itu tidak pernah dilaporkan media, malah ajal manusia ditentukan Tuhan bukan kerana menjawab panggilan telefon,” katanya.

Sumber berita, sila klik disini.

Laporan Harian Metro hari ini, Sabtu, May 17, 2008

‘Tiada santau melalui SMS’
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Santau tidak mungkin boleh disebarkan melalui talian telefon kerana ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi pengamal ilmu sesat itu bagi memastikan ia berkesan.

Malah, mereka yang terkena ilmu hitam itu tidak akan terus meninggal dunia kerana pengamal santau biasanya mahu mangsa menderita terlebih dulu.

Pengamal perubatan Islam di Pusat Rawatan Terapi Al-Quran Darul Hikmah di Alor Star, Kedah, Abdul Malik Lazim, berkata memang jin dikaitkan dengan gelombang tetapi ia tidak boleh sewenang-wenangnya diarahkan untuk ‘mengena’ mangsa kerana ada syarat tertentu perlu dipatuhi.

“Pengamal ilmu sihir biasanya akan meminta pertolongan jin dengan menyatakan nama orang yang akan disantau. Mangsa yang terkena tidak tahu dia menderita, malah saya sendiri pernah merawat pesakit yang terkena santau selama 30 tahun,” katanya yang dihubungi semalam.
Beliau berkata, penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya ada pengamal ilmu hitam mahu menguji ilmunya melalui talian telefon mengarut dan tidak masuk akal.


“Penyebaran SMS itu bukan saja menyusahkan orang ramai malah boleh menyebabkan perkara khurafat. Saya meminta sesiapa yang menerimanya supaya tidak menghantarnya kepada orang lain,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan Harian Metro semalam mengenai keresahan orang ramai apabila menerima SMS berantai yang memberi amaran supaya tidak mengangkat telefon jika dihubungi satu nombor pelik, kononnya boleh meragut nyawa mereka yang menjawab panggilan itu.

SMS yang tersebar luas sejak seminggu lalu menasihatkan orang ramai tidak menjawab panggilan misteri yang dikatakan mengandungi unsur sihir kononnya sedang diuji sekumpulan penuntut ilmu hitam.

Sumber berita, sila klik disini.

Helah sesatkan akidah umat Islam

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran panggilan maut akan menerima kesan buruk kerana semua itu adalah satu kesempatan yang mungkin diambil syaitan bagi memesongkan akidah umat Islam.

Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata kewujudan jin dan syaitan jelas ditunjukkan dalam al-Quran dan mereka hanya menunggu peluang untuk menyesatkan manusia.

“Apabila isu seperti ini mula heboh diperkatakan, timbul keraguan di kalangan masyarakat,” katanya.

Sumber berita sila klik disini.

Laporan dan berita berkaitan perkara yang sama oleh media Indonesia. Klik disini.

No comments: