Sunday, January 17, 2010

Menangani fitnah dunia siber

Oleh Ku Seman Ku Hussain
17 Januari, 2010







Gambar hiasan. Pix courtesy of http://careybock.wordpress.com/








KHAMIS lalu seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) didakwa di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya kerana menghantar komen yang berunsur ugutan di laman sosial Facebook. Beliau menghantar komen ke laman Facebook individu lain mengenai isu sensitif kalimah Allah yang mahu digunakan oleh penganut Kristian.

Isu kalimah Allah berlarutan kepada insiden melontarkan bom petrol pada beberapa gereja di Lembah Kelang hingga menimbulkan kebimbangan kalangan rakyat. Kedua-dua kejadian ini adalah suatu yang sensitif dan boleh mencetuskan sentimen antara kaum dan agama.

Facebook merupakan salah satu laman sosial yang ditawarkan bersama kecanggihan teknologi di dunia siber. Dengan kos yang sangat minimum atau tidak mengenakan kos langsung, setiap individu boleh menjadi pemain dalam ledakan kecanggihan dunia siber. Mereka boleh mencambahkan dan mendapatkan maklumat, atau mengutarakan pandangan tanpa sebarang tapisan. Tetapi malangnya definisi “tanpa tapisan” ini selalu difahami sebagai terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kes pelajar menghantar komen didakwa berbaur ugutan adalah yang terbaru dan sekaligus membuktikan dunia siber juga tidak pernah menjanjikan kebebasan tanpa had. Tetap ada peruntukan undang-undang untuk memastikan mereka yang menyalahgunakan kecanggihan dalam dunia siber dikenakan tindakan.

Banyak pihak menganggap apabila mereka bebas mengutarakan pandangan atau komentar, ini bermakna mereka bebas daripada sebarang tindakan undang-undang. Lebih buruk lagi apabila mereka menganggap penyebaran berbaur fitnah, ugutan atau penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sebagai satu kebebasan.

Apabila e-mel mengambil alih peranan surat konvensional ketika Internet mula-mula diperkenalkan di negara ini, ada pihak yang menulis “e-mel layang”. Dulunya ini dilakukan secara tradisional menerusi “surat layang.” Banyak yang percaya e-mel atau surat elektronik ini terlepas daripada tindakan undang-undang berbanding surat biasa.

Kemudian apabila diperkenalkan istilah citizen journalist menerusi kemunculan berjuta-juta blogger yang mempunyai laman blog sendiri, khalayak mendapat begitu banyak maklumat sahih dan juga palsu. Ketika ini semua orang boleh memiliki “surat khabar” sendiri apabila mempunyai laman blog atau laman web. Ini bermakna semua orang boleh menjadi wartawan dan menyiarkan pandangan mereka untuk tatapan umum.

Sebelum ini ada beberapa blogger yang mendepani tindakan undang-undang kerana isi kandungan dalam blog berkenaan dikatakan berbaur fitnah. Blogger Jeff Ooi, Ahiruddin Atan, Raja Petra Kamaruddin dan Syed Azidi antara yang pernah mendepani tindakan undang-undang berhubung isi kandungan dalam blog masing-masing.

Contoh itu mahu membuktikan bahawa dunia siber hanya menyediakan premis yang bebas untuk menyiarkan apa saja kepada khalayak. Tetapi dalam masa yang sama tidak bermakna bebas daripada tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang menganggap penyiaran itu fitnah kepada mereka.

Kewarasan

Dengan kewujudan media baru seperti laman sosial, blog dan laman web, khalayak dituntut menggunakan kewarasan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi yang ditawarkan menerusi dunia siber. Tetapi disebabkan oleh sesiapa saja boleh memberi pandangan dan menyiarkan untuk tatapan umum, maka wujudlah salah tafsir mengenai suatu yang dikelaskan sebagai fitnah, ugutan dan sebagainya.

Sebelum ini penerbitan bercetak yang banyak diambil tindakan undang-undang oleh individu yang merasakan mereka difitnah atau dimalukan dalam penerbitan berkenaan. Penerbitan bercetak sentiasa diawasi oleh Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA). Penerbitan bercetak tidak boleh bermain dengan isu yang menyentuh kaum dan agama. Tindakan sedang menanti mereka. Selain itu penerbitan bercetak juga bebas diambil tindakan undang-undang oleh individu apabila isi kandungan dianggap sebagai menyentuh peribadi mereka.

Penerbitan bercetak berkerja dalam satu lingkungan yang sentiasa diawasi dengan ketat oleh bermacam-macam akta. Tetapi secara positifnya Ini dengan sendiri membentuk self-censorship yang tinggi untuk menilai sesuatu isi kandungan itu akan memudaratkan keharmonian negara atau sebaliknya. Ini kerana penerbitan bercetak lebih mudah dipantau berbanding media baru yang lahir dalam dunia siber.

Dengan kemunculan berjuta-juta blog, peserta dalam laman sosial selain laman web yang pelbagai, pemantauan terhadap penyiaran isi kandungan yang sensitif tidak dapat dilakukan dengan segera. Kalau dipantau sekalipun tindakan undang-undang tidak diambil dengan segera. Keadaan ini mengiyakan persepsi bahawa dunia siber semuanya bebas.

Maka yang kelihatan tidak bebas adalah penerbitan bercetak dan yang kononnya bebas adalaj penerbitan media baru di dunia siber. Sekalipun tanggapan ini tidak benar tetapi secara tidak langsung telah membentuk persepsi bahawa “kebebasan” ada di dunia siber.

Kecanggihan teknologi dunia siber sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada rakyat khususnya untuk mendapat maklumat. Kini kita berada pada era limpahan maklumat dan tentunya suatu yang baik kepada semua orang. Lambakan maklumat juga ada masalahnya apabila individu di dunia siber tidak semuanya mempunyai kredibiliti untuk diterima sebagai pemberi maklumat yang sahih. Lebih teruk lagi bukan saja tidak sahih tetapi sengaja dilencongkan kepada maksud lain.

Di peringkat inilah kecanggihan dunia siber mendatangkan keburukan kepada khalayak. Semuanya kerana disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan isi kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Kebebasan menyiarkan maklumat atau pandangan telah digunakan untuk menyebarluaskan fitnah atau maklumat palsu yang menggoncang kestabilan negara atau untuk menjejaskan kredibiliti individu tertentu.

Kita kena realistik bahawa penerbitan di dunia siber negara ini terlalu bebas. Ia seolah-olah tidak ada pemantauan seperti yang dilakukan terhadap penerbitan bercetak. Mereka yang mengendalikan penerbitan siber bukan saja bebas menyiarkan maklumat tetapi juga bebas daripada tindakan undang-undang. Walaupun ada beberapa kes yang disebutkan di atas tadi tetapi ini sekadar membuktikan ada peruntukan undang-undang terhadap dunia siber. Bagaimanapun tidak ada tindakan yang boleh dijadikan iktibar oleh pihak lain.

Ini dibuktikan sebahagian daripada blog, komen-komen dalam laman sosial serta khidmat pesanan ringkas (SMS) bukan saja maklumat yang palsu tetapi boleh menggugat keharmonian negara. Komen-komen terhadap isu-isu yang melibatkan politik dan agama dibuat sewenang-wenang dengan unsur-unsur yang berbaur perkauman. Ini tidak boleh dilakukan sama sekali oleh penerbitan bercetak.

Mempunyai peruntukan undang-undang dan melaksanakan undang-undang adalah dua perkara yang berbeza. Peruntukkan undang-undang menuntut ia dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada individu yang menjadi mangsa kepada pengamal dalam dunia siber. Fitnah, hasutan atau ugutan tetap mempunyai makna yang sama tidak kira dalam dunia siber atau sebaliknya.

Kita semua percaya dalam isu kalimah Allah dan juga membakar gereja, bukanlah pelajar Aswara itu saja yang menghantar komen yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan. Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa isu yang sensitif seperti itu telah bersarang di laman-laman web atau laman-laman sosial di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menganggap penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama penyebaran fitnah yang berleluasa di dunia siber. Sebaliknya beliau percaya, sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan banyak bloger dan pengguna Internet tidak boleh bermaharajalela menyebarkan fitnah.

Semua yang bersifat fitnah, ugutan atau hasutan boleh diambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ada dalam peruntukkan undang-undang. Sebagai bukti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengemukakan 18 kes bawah perkara 232 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kepada pihak pendakwa tetapi masih belum ada pendakwaan. Kenapa?

Melaksanakan dengan tegas Akta Komunikasi dan Multimedia bukanlah menyekat kebebasan bersuara seperti yang dilaung-laungkan oleh pihak tertentu. Dalam kehidupan manusia tidak ada kebebasan yang mutlak dan perkara ini mesti difahami sekiranya kerajaan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar akta tersebut.

Peruntukkan undang-undang berkaitan dunia siber adalah untuk menyekat segelintir pengguna yang tidak beretika atau sengaja mengambil peluang untuk mencetuskan keadaan tidak harmoni. Pada masa ini memberi banyak manfaat kepada majoriti khalayak yang lain. Sekiranya kerajaan berfikiran sempit tidak memberi kebebasan, sudah tentu tidak diperkenalkan Internet. Maka untuk menikmati kebebasan yang lebih bermakna kita perlulah mengorbankan kebebasan mutlak yang membawa banyak keburukan daripada kebaikan.

Sumber: Sila klik disini.

No comments: