Tuesday, April 27, 2010

Selesai rungutan penduduk Labuan mahu khidmat feri ditingkat: Abdul Rahim

26th April, 2010

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Rahim Bakri, berharap kerajaan negeri khususnya Kementerian Pembangunan Infrastruktur dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan rungutan penduduk Labuan yang sangat berharap perkhidmatan feri Labuan-Menumbuk dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata usaha memecah monopoli dapat dilakukan dengan tidak hanya terikat dengan satu operator seperti sekarang di mana perkhidmatannya amat dipersoalkan oleh banyak pihak.

“Ia juga menjadi isu berbangkit setiap kali persidangan Parlimen iaitu menjadi topik persoalan dan perdebatan ahli-ahli Parlimen Labuan dan Sabah.

“Secara prinsipnya Kementerian Pengangkutan Persekutuan tidak ada halangan mengeluarkan lesen operasi kepada syarikat yang berminat asalkan mereka memenuhi kriteria dan peraturan keselamatan.

“Namun kekangannya ialah kuasa hak pendaratan (landing rights) di bahagian Sabah iaitu di Menumbuk adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri sama ada membenarkan ‘landing rights’ selain operator sedia ada atau tidak,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Abdul Rahim berkata, pihak Kementerian Pengangkutan Persekutuan telah menulis dan menyampaikan rungutan dan keluhan rakyat kepada pihak berwajib negeri Sabah tetapi akhirnya pihak kerajaan negeri memiliki kata putus.

Sumber: http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/38100

No comments: