25th April, 2010
LABUAN: Penduduk Labuan kini boleh berulang alik ke tanah besar Sabah dengan lebih kerap berbanding cuma dua kali sehari sebelum ini dengan beroperasinya satu lagi perkhidmatan feri dari Labuan ke Menumbok sejak Selasa lepas.
Perkhidmatan tersebut dikendalikan oleh Isro Group melalui anak syarikatnya Isro Shipping yang memiliki empat buah feri, yang dua daripadanya digunakan bagi perkhidmatan Labuan-Brunei-Labuan sejak beberapa tahun lepas.
Perkhidmatan sedia ada dikendalikan oleh syarikat Double Power yang menggunakan tiga buah feri.
Selain feri, penduduk Labuan berulang alik ke tanah besar dengan bot laju atau kapal terbang.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan, Datuk Yussof Mohammad memberitahu bahawa penambahan pengangkutan feri untuk ke tanah besar Sabah akan membantu merancakkan lagi ekonomi Labuan.
“Apa yang kita fahamkan, feri ini juga mengangkut barangan pengguna dari tanah besar dengan kos yang lebih rendah dan ini sekali gus dapat membantu mengurangkan harga barangan pengguna di Labuan,” katanya.
Beliau berkata feri tersebut Duta Muhibbah 3, mampu membawa 110 penumpang dalam satu masa.
Bagi Abu Bakar Selamat, perkhidmatan feri baru itu akan memudahkannya memasarkan hasil pertaniannya ke tanah besar.
“Saiz feri ini lebih besar dan saya dapat membawa lebih banyak hasil pertanian untuk dipasarkan ke tanah besar dengan kos tambang yang lebih murah,” katanya.
Selain penumpang, feri berkenaan juga mengendalikan perkhidmatan kargo.
Sumber: http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/38064
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment