Monday, February 25, 2008

PILIHAN RAYA UMUM KE-12










Analisa Politik Kawasan Parlimen P178 – Sipitang
Dan Dewan Undangan Negeri N28 – Sindumin


Maklumat lengkap berkaitan senarai calon parti-parti politik yang bakal bertanding di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari ini. Artikal ini akan memberi fokus khusus kepada Kawasan Parlimen P178 (Sipitang) dan DUN N28 (Sindumin) yang juga adalah tempat kelahiran penulis dan pemilik blog ini.

Seperti yang kita sedia maklum calon-calon yang bakal bertanding di kawasan-kawasan berkenaan adalah seperti berikut: -

Kawasan Parlimen Sipitang - P178

1. Datuk Sapawi Amat Wassali@Ahmad (BN)
2. Tuan Hj Karim Tassim (PKR)

Kawasan DUN Sindumin – N28
1. Tuan Hj Ahmad bin Hj Bujang (BN)
2. Tuan Hj Ramli Dua (PKR)




Pertandingan satu lawan satu di kedua-dua kawasan tersebut bakal menyaksikan pertarungan yang hebat berdasarkan kepada kekuatan dan pengaruh yang dimiliki oleh calon-calon berkenaan. Keempat-empat calon berkenaan adalah orang tempatan dan dikenali oleh masyarakat setempat.







Datuk Sapawi Hj Ahmad (Calon BN bagi P178)






Bagi calon Barisan Nasional (BN) P178, Datuk Sapawi Amat Wassali @ Ahmad yang lebih dikenali sebagai Datuk Sapawi Hj Ahmad adalah calon yang tidak asing lagi kerana beliau merupakan ADUN N28 yang berpindah ke Kawasan Parlimen P178 di dalam Pilihan Raya kali ini. Ahli Parlimen P178 iaitu Datuk Dr. Hj. Yusof@Josree bin Hj. Yaacob (BN) telah digugurkan di dalam Pilihan Raya kali dan digantikan oleh Datuk Sapawi Hj Ahmad.

Barisan Nasional telah mempertaruhkan Tuan Hj Ahmad bin Hj Bujang untuk bertanding di Kawasan DUN Sindumin, N28 menggantikan Datuk Sapawi Hj Ahmad yang berpindah ke Kawasan Parlimen. Tuan Hj Ahmad bin Hj Bujang seorang ahli perniagaan dan pendatang baru telah dicalonkan untuk bertanding atas tiket BN.







Tuan Hj Ramli Dua (Calon PKR bagi N28)






Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan dua orang tokoh politik tempatan mereka iaitu Tuan Hj Karim Tassim dan Tuan Hj Ramli Dua. Tuan Hj Karim Tassim, bekas seorang guru akan bertanding di Kawasan Parlimen menentang calon BN Datuk Sapawi Hj Ahmad. Disamping itu Tuan Hj Ramli Dua, seorang ahli perniagaan pula akan menentang calon BN, Tuan Hj Ahmad bin Hj Bujang di kawasan DUN N28.

Seperti mana yang para pembaca sedia maklum Tuan Hj Ramli Dua merupakan penulis jemputan di dalam blog ini dan telah menyumbangkan beberapa artikal yang menarik. Di dalam Pilihan Raya Tahun 2004 beliau telah bertanding sebagai Calon Bebas di kawasan N28 menentang Datuk Sapawi Hj Ahmad (BN). Tuan Hj Ramli Dua berjaya meraih undi sebanyak 3,405 undi berbanding dengan undi yang diperolehi oleh Datuk Sapawi Hj Ahmad sebanyak 5,073 (majoriti undi 1,668).

Sebelum saya meneruskan analisa politik dengan lebih lanjut mari kita lihat statistik-statistik penting berkaitan P178 dan N28.

Kawasan Parlimen P178

Jumlah Pengundi: 24,145
Peningkatan jumlah pengundi:
B/I: 80.58% B/B/I: 14.09% C: 4.99% L: 0.34%

Kawasan DUN N28
Jumlah Pengundi: 12,828
Peningkatan jumlah pengundi:
B/I: 72.16% B/B/I: 21.34% C: 5.96% L: 0.54%

Nota:
B/I – Bumiputra Islam
B/B/I – Bumiputra Bukan Islam
C – Cina
L- Lain-lain

Mengikut sejarah politik Daerah Sipitang (DUN dan Parlimen) adalah diwakili oleh parti-parti pemerintah dari zaman USNO, Berjaya, PBS dan UMNO. Malah Tuan Hj Ramli Dua pernah mewakili Parti Berjaya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri satu ketika dahulu.

Di dalam penulis membuat analisa politik ke atas kedua-dua kawasan Pilihan Raya berkenaan, penulis harus bersikap profesional kerana keempat-empat calon berkenaan merupakan mereka yang penulis kenali secara peribadi. Diantara Datuk Sapawi dengan penulis, mereka mempunyai perhubungan darah kekeluargaan sedangkan Tuan Hj Ramli Dua merupakan seorang sahabat. Bagi Tuan Hj Karim Tassim pula penulis telah mengenali beliau sejak tahun 60an dimana adik beliau Sdr Ibrahim Tassim merupakan teman persekolahan penulis di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Mungkin Tuan Hj Ahmad Bujang sahaja yang penulis tidak begitu mengenali beliau dengan rapat kerana penulis difahamkan beliau melanjutkan pelajaran menengah beliau di luar Daerah Sipitang di dalam tahun 1960an dahulu.

Walau apa pun, saya akan teruskan analisa politik ini dengan seadil-adilnya berdasarkan kepada keadaan semasa dan beberapa faktor politik yang saya anggap bakal memberi impak dan mempengeruhi keputusan Pilihan Raya di kedua-dua kawasan berkenaaan. Kedua-dua Wakil Rakyat BN sebelum ini yang disandang oleh Datuk Dr. Hj. Yusof@Josree bin Hj. Yaacob sebagai Ahli Parlimen dan Datuk Sapawi bin Hj Ahmad sebagai ADUN tidak boleh dinafikan telah membawa pembangunan yang agak memberangsangkan ke Daerah Sipitang dari aspek pembangunan infra-struktur dan modal insan. Namun demikian masih terdapat banyak ruang-ruang kosong yang perlu diambil perhatian oleh Wakil-Wakil Rakyat yang mewakili Daerah ini dimasa hadapan.

Di dalam Pilihan Raya Tahun 2004, Datuk Dr. Hj. Yusof@Josree bin Hj. Yaacob yang telah dicalonkan sebagai calon BN bagi Kawasan Parlimen P178 telah menang tanpa bertanding. Pengguguran beliau dari senarai calon BN pada Pilihan Raya ke-12 tahun 2008 merupakan satu kejutan besar kepada penyokong-penyokong kuat Datuk Dr. Hj Yusof. Saya sendiri agak terkilan sebaik saja memperolehi berita tersebut melalui khidmat pesanan ringkas dari sahabat-sahabat saya di Kota Kinabalu dan di kampung. Kenapa Datuk Dr. Yusof di gugurkan dari senarai calon BN? Adakah atas sebab faktor prestasi, peribadi atau kehilangan penyokong? Soalan tersebut hanya dapat dijawab oleh kepimpinan BN peringkat Negeri Sabah.

BN Sabah telah mengambil “risiko” yang agak besar dengan menggugurkan seorang Ahli Yang Berhormat yang mempunyai rekod menang tanpa bertanding di dalam Pilihan Raya 2004. Saya yakin Datuk Dr. Hj. Yusof sebagai “orang kuat parti” yang berpegang teguh ke atas prinsip kepimpinan dalam UMNO tidak akan beralih arah di dalam Pilihan Raya kali ini. Namun demikian, adakah beliau mampu untuk membendung pengikut-pengikut beliau untuk mengikut jejak langkah beliau. Perlu diingatkan bahawa beliau mempunyai penyokong akar umbi yang agak ramai di Kawasan Parlimen P178. Dalam kata lain mampukah Datuk Sapawi sebagai calon BN yang menggantikan Datuk Dr Hj Yusof melakukan “damage control atau damage management” dalam masa yang amat singkat ini untuk meyakinkan penyokong-penyokong Datuk Dr. Hj. Yusof berpihak kepada beliau.







Datuk Dr. Hj. Yusof bin Hj Yaacob







Kerjaya politik Datuk Dr. Hj Yusof bermula sejak tahun 1990 setelah beliau meletak jawatan dari perkhidmatan kerajaan. Pembabitan beliau di dalam politik bermula dengan Parti USNO dan selanjutnya UMNO bermula pada awal tahun 2000 apabila UMNO bertapak di Sabah. Beliau telah mewakili Kawasan Parlimen P178 selama tiga penggal berturut-turut melalui Pilihan Raya tahun 1995, 1999 dan 2004 sehinggalah digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya tahun 2008. Jawatan terakhir beliau sebelum Pembubaran Parlimen ialah sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Adakah “Faktor Dr. Yusof” akan mencorakkan halatuju pengundi-pengundi P178 dan N28 pada Pilihan Raya ke-12 kali ini? Sekiranya Datuk Sapawi dapat melakukan “damage control atau damage management” dalam tempoh 2 minggu ini, maka peluang BN untuk mengulangi kejayaan masa lalu adalah cerah tetapi berkemungkinan dengan majoriti undi yang berkurangan. Jika sebaliknya, adalah amat sukar untuk diramalkan kerana saya yakin Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan “Faktor Dr. Yusof” ini sebagai salah satu strategi politik mereka untuk meraih undi dari “bekas” penyokong-penyokong Datuk Dr. Yusof. Harus diambil perhatian bahawa di dalam keadaan dimana tidak terdapat isu-isu politik “besar” yang mendominasikan Pilihan Raya kali ini, adalah dikhuatiri isu pengguguran ramai penyandang (incumbents) dari BN di Sabah khasnya dan seluruh Negara amnya akan memberi kesan terhadap halatuju pengundi-pengundi.

Penulis masih belum berkeyakinan penuh bahawa pengundi-pengundi di kawasan P178 dan N28 khasnya mempunyai tahap kematangan seperti yang disarankan oleh kepimpinan UMNO dan BN untuk mengundi parti dan bukannya calon. Walaubagaimana pun saya berkeyakinan penuh bahawa jentera BN akan digerakkan sepenuhnya untuk mengulangi kejayaan masa lalu dan kepada semua sahabat-sahabat saya yang bertanding di dalam Pilihan Raya kali ini sama ada dari Parti UMNO atau PKR, saya ingin mengucapkan Selamat Berkempen dan Gunakanlah Strategi-Strategi Politik Yang Bersih untuk meraih undi. Selamat Mengundi.

3 comments:

malaysia baru said...

Kearah Malaysia yg bebas dari RASUAH & PENYELEWENGAN...

Unknown said...

sabar sabar saja kau sup,kakal jua dangan ingat jasamu bawa umah sakit, mentar jalan ke bopot buat jalan ke tinom jalan di pilakat mana saja aah kakal jua tambus .sabuting ngaya yang alum sudah yang dangan inda telihat lagi waterwork yang bahauu bila inda dangan telihat TUHAN telihat tu jaan tah watir

Anonymous said...

Datuk Dr, Mun inda babalik bakas lama akan babalik jua bakas bahau tu nanti....Ko lihat saja buatannya 3 Panggal jadi ADUN Sindumin dan ani Masih on lagi 1 panggal MP, Apa "KULIMBANYANG" yang dapat dibuatnya Pembangunan dan Ekonomi?...Wang yang Ngundi ia nganya yang PACAH pakah nda talihat...Ba Ilmu gayanya jalama tu pakah "Ilmu Jawa ni mun mangasi bukannya kan di pamain2 eh".