KOTA KINABALU 13 April - Bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd. Rahman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu Malayan Banking Bhd. cawangan Kota Kinabalu sebanyak RM160,000 untuk membeli sebuah apartmen, 13 tahun lalu.
Dia yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil terhadap tuduhan tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh itu diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan pada 8 hingga 12 Februari 2010.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Malayan Banking itu pada 3 April 1996 bertujuan untuk memohon pinjaman perumah-an sebanyak RM110,00 dan overdraf RM50,000.
Pinjaman itu didakwa dilakukan atas nama syarikatnya, Sara Equity Sdn. Bhd. dan pinjaman itu untuk membeli sebuah apartmen di unit 3-R2-32, Tingkat 2, Api-api Centre, Fasa 1A di sini.
Suhaili yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Labuan didakwa bertindak sebagai penjamin tetapi telah menggunakan nama dan kad pengenalan dipercayai palsu untuk proses pinjaman tersebut.
Dia didakwa memperdaya pengurus bank tersebut, Ismail Jantan, dengan menggunakan nama Ahmad Suhaily Abd. Rahman yang memegang kad pengenalan bernombor H 0552182.
Suhaili didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda.
Tertuduh diwakili peguam bela, Rakhbir Singh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais.
Sementara itu, Suhaili ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia masih menunggu keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan sama ada akan melanjutkan jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan.
Jelas Suihaili, jawatannya sebagai pengerusi perbadanan tersebut tamat pada 31 Mac lalu.
Sumber: Sila klik disini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment