Wednesday, April 15, 2009

Suhaili mengaku tidak bersalah beri maklumat palsu

KOTA KINABALU 14 April - Sehari selepas menghadapi tuduhan menipu seorang pengurus bank, bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995.

Bekas Pengerusi Perbadanan Labuan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas dakwaan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Hafizah Mohd. Salim.

Majistret Noor Hafizah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen bagi membolehkan ia didengar serentak dengan satu lagi tuduhan menipu melibatkan Suhaili.

Permohonan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais, mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta sebat dan denda.

Suhaili, 48, yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, dituduh membuat kenyataan palsu itu kepada Mohd. Naser Mohd. Noor, seorang Jaksa Pendamai, berhubung pendaftaran Syarikat Saraequity Sdn. Bhd. pada 3 Ogos 1995.

Mengikut pertuduhan, Suhaili dituduh memberi maklumat palsu kepada Mohd. Naser Mohd. Noor dalam akuan berkanun, menggunakan nama Ahmad Suhaily Abdul Rahman dengan kad pengenalan bernombor H 0552182.

Semalam, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 8 Februari hingga 12 Februari tahun depan perbicaraan kes penipuan bank melibatkan Suhaili.

Dalam kes tersebut, Suhaili didakwa atas tuduhan menipu Malayan Banking Bhd. cawangan Kota Kinabalu sebanyak RM160,000 untuk membeli sebuah apartmen di sini, pada 1996.

Sumber : Sila klik disini.

No comments: