Monday, April 6, 2009

Dr. M sertai UMNO




Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Najib Tun Razak sambil disaksikan Tun Siti Hasmah Mohd. Ali dan Datin Seri Rosmah Mansor di Sri Satria, Putrajaya, semalam.






Oleh ZULKIFLI JALIL dan
HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.

Bekas Presiden UMNO itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyerahkan borang keahlian yang kekal bernombor 001 dan 002 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di Sri Satria di sini.

Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO.

‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO.

‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada majlis itu juga, anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Mokhzani turut mengambil langkah sama menyertai semula UMNO.

Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.

Pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan tempatan dan media asing tersebut, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh tidak menafikan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini mirip perkara sama 40 tahun lepas ketika parti itu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Razak Hussein.

‘‘Satu pakatan kekeluargaan yang tidak sengaja tetapi benarlah, saya dapat masuk balik UMNO dahulu pun kerana Tun Razak yang menerima saya dan kali ini, anaknya yang terima saya.

‘‘Mengenai jawatan (dalam UMNO atau kerajaan), tak payahlah tetapi kalau nak kerjasama, saya bila-bila masa bersedia untuk memulihkan semula parti kerana saya dipercayai oleh rakyat,” katanya.

Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air.

Ini kerana, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO untuk terus membantu parti dan BN termasuk berkempen pada pilihan raya walaupun telah bersara.

‘‘Saya tidak suka kalau dah bersara ini, kita pisah diri sama sekali dengan UMNO kerana saya naik pun kerana UMNO.

‘‘Dari dulu pun, saya menawarkan diri untuk berkempen jika diperlukan dan hari ini nampaknya saya diminta untuk berkempen. Saya sudah bersedia kerana ia adalah parti saya,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan meneruskan sikap kritikalnya terhadap UMNO sebagaimana sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, sikap demikian berlaku apabila ‘kesilapan dilakukan’.

‘‘Jika tidak, saya rasa tidak perlu jadi kritikal dan saya rasa Datuk Seri Najib tidak akan terkeluar dari landasan (corak kepimpinan) yang telah ditetapkan oleh bapanya dan bukan oleh saya,” katanya.

Sumber : Sila klik disini.

2 comments:

Anonymous said...

Dr.Mahatir nilah Pemimpin yang memulakan Kemajuan Negara dan d dalam satu waktu/masa juga beliau meruntuhkan Politik UMNO @ BN d dalam Negara ini, Kerana Pemerintahannya terlalu lama. Kerana beliau membuat keputusan dan Tindakan membuta tuli lah kepada DSAI @ Datuk Seri Anwar Ibrahim maka Fenomena Politik Negara kucar kacir.... Beliau menyerahkan kepada Tun Abdullah pada persaraannya dia juga MENGKRITIK PM Tun Abdullah...Bersara dan BERTAUBATlah Tun Mahatir....Masa anda untuk memikirkan Negara ini sudah berlalu. Berkali kali sekalipun Tun memasuki UMNO ternyata Tenaga dalaman UMNO itu sudah pun melalui usia yang sudah memasuki suram.

Tuan Cobra said...

Apa kata Pa'Lah dan KJ pula yang lawan balik Tun Mahatir dan Najib? Mereka anak beranak ni Keluar dari UMNO membawa Kerusi MP mereka keluar Parti? Apa yang Tun Mahatir dan Najib Rasakan? Adakah kemungkinanya berbuat sedemikian? Kalaulah saya sendiri seperti KJ pasti sudah saya mau MERUBAH Fenomena Politik Malaysia yang sudah kucar kacir ini.Kerana saya bertahan didalam UMNO pun tidak juga ada Pengharapan dan Penghargaan yang menggunung tinggi dari Pucuk Kepimpinan UMNO yang ada. KJ menjadi ANAK JANTANlah engkau....Jangan menjadi Tupai Jantan sudahlah.