Penulis : TAN SRI LEE LAM THYE
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjanji untuk menjadikan Kabinet barunya itu berupaya menunjukkan prestasi dan menyampaikan perkhidmatan dengan mengadakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang menitik beratkan tentang impak dan status penyampaian perkhidmatan tersebut.
Penekanan ke atas prestasi dan komitmen Perdana Menteri untuk memantau secara peribadi kemajuan semua Menteri sekali dalam enam bulan adalah suatu langkah penting memandangkan wujudnya ketidakpuasan rakyat di masa lalu tentang prestasi menteri dan beberapa penjawat awam.
Nyata sekali kini masa telah tiba untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berorientasikan rakyat dan tindakan dimulakan dengan Kabinet yang mempunyai kepekaan dan sensitif terhadap keperluan rakyat dan negara terutamanya ketika saat kegawatan ini.
Tidak boleh dinafikan bahawa harapan rakyat terhadap pentadbiran Najib ini adalah sangat tinggi dan adalah menjadi suatu kewajipan bagi pentadbiran baru ini untuk menunjukkan prestasi dan menghasilkan perkhidmatan efisien berasaskan budaya penuh integriti dan kecemerlangan.
Ini bermakna setiap anggota Kabinet benar-benar menanggung tugasan berat dalam merealisasikan jaminan dan komitmen pentadbiran baru.
Anggota pentadbiran Najib harus mendampingi rakyat untuk memahami rintihan serta keperluan dan kehendak mereka diikuti dengan bertindak melakukan segala perubahan yang perlu untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat.
Sumber : Sila klik disini.
Saturday, April 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment