Sunday, September 13, 2009

PUASA ENAM HARI BULAN SYAWAL

Maklumat dibawah ini dipetik dari laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus

1. Apakah fadhilat puasa enam hari bulan Syawal?

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

" Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :


"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).


Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

Sabda Rasulullah saw,

Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya.

2. Seseorang mukmin yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal untuk tujuan dapat fadhilat puasa enam hari dalam bulan Syawal, bagaimana pandangan Islam tentang perkara ini?

Bagi sesiapa yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal akan mendapat puasa enam hari dalam bulan Syawal sekalipun dengan niat qada' sahaja. Sekiranya dia berniat qada' berasingan dengan niat puasa enam hari bulan Syawal itu adalah Afdhal.


Hal ini ditasybihkan dengan pendapat tentang solat sunat Tahiyyat al-Masjid. Seseorang itu memperolehinya sama ada dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sekalipun tidak berniat solat Tahiyyat al-Masjid Tahiyyat al-Masjid.

3. Seseorang muslim yang sedang berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal pada waktu yang sama dia meraikan Aidil Fitri (ziarah atas undangan atau menyambut tetamu) dalam keadaan dirinya berpuasa, bagaimana penyelesaian yang Islam anjurkan untuk dua keadaan ini?

Sebagai maklumat awal:

• i. Haram berpuasa pada awal Syawal. Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang mengambil peluang pada hari tersebut untuk memenuhi undangan dan berziarah.

• ii. Puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh dilakukan secara berturut-turut atau berasingan dalam bulan Syawal.

• iii. Ia merupakan puasa sunat dan bukannya wajib.

• iv. Bagi seorang isteri perlu mendapatkan keizinan daripada suaminya.


Sekiranya dia didatangi tetamu hendaklah dia meraikan tetamunya. Sunat dia berbuka puasa sunat tersebut. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah,

Yang bermaksud, Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Qiamat maka muliakanlah tetamunya.

Ini kerana tetamu yang datang membawa rezeki kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah,


Yang bermaksud, Wahai manusia! Janganlah kamu membenci kehadiran tetamu. Sesungguhnya mereka datang membawa rezeki dan apabila keluar (pulang) membawa dosa ahli rumah tersebut keluar.

You are also welcome to visit my other blogs http://darahkedayan.blogspot.com/ and http://simply-kedayan.weebly.com/

No comments: