Tuesday, October 30, 2007

SELAMAT BERSARA




Masa berlalu begitu pantas. Bagaikan pepatah Inggeris “ Time and tide wait for no man”. Rasanya seperti baru semalam saya menjerat burung punai pada musim pokok-pokok “sadaman menghamburkan" bebuahnya di hutan belantara bersama-sama sahabat karib saya, Tuan Hj Karim Nayan.

Rasanya baru semalam saya “manahan bubu” di sungai yang airnya mengalir sederhana berumpankan buah “pangalaban” demi menarik perhatian ikan-ikan keli untuk dibuat lauk kami sekeluarga.

Rasanya baru semalam saya memancing di sungai basaa bersama teman dan orang sekampung, mengharapkan seekor dua “nanggalah, limbangau dan kali sungku.”

Masa berlalu begitu pantas. Ramai teman dan sahabat yang seangkatan dengan saya khususnya yang bekerja di sektor awam rupa-rupanya sudah diakhir kerjaya mereka , sedang dan akan mengalami pengalaman baru sebagai “orang pencen”. Saya boleh bayangkan betapa sukarnya untuk menyesuaikan diri masing-masing didalam suasana baru yang amat berbeza dengan suasana yang kita biasa lalui selama lebih 30 tahun yang lalu semasa kita memerah keringat untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga tersayang.

Ramai diantara sahabat-sahabat yang seangkatan dengan saya mungkin telah menimang cucu dan saya selalu terdengar cerita orang lama bahawa cucu-cucu merupakan penghibur kepada nenek dan atuk yang telah bersara. Itu pun kalau anak-anak berada tidak jauh dari atuk dan nenek. Pada lazimnya anak-anak yang sudah berkeluarga akan terbang ke sarang masing-masing, maka atuk dan nenek akan terasa kesunyian yang amat sangat, tinggal hanya berdua di rumah kampung atau di rumah bandar. Anak dan cucu hanya balik pada hari-hari tertentu sahaja seperti di Hari Raya dan musim cuti sekolah.

Hari ini saya menerima sebuah e-mail dari seorang anak sahabat lama saya yang sudah lebih 30 tahun saya tidak bertemu. Kami dibesarkan bersama-sama di kampung pada tahun 50an dan 60an. Selepas itu masing-masing membawa haluan sendiri untuk mencari rezeki di tempat orang. Anak sahabat saya itu telah memaklumkan kepada saya bahawa ayahnya sudah bersara dan sedang menetap di sebuah kampung, tetapi bukan di kampung asal beliau.

Kepada anak sahabat saya itu saya ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi respon terhadap pencarian saya. Sahabat lama saya itu ialah SDRA ALISKA BIN TANDUK. Kepada Sdra Aliska saya ingin mengucapkan Selamat Bersara, semoga suasana baru akan dapat membawa kebahagiaan kepada sdra sekeluarga. Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.


Kepada sahabat-sahabat saya yang lain, yang telah dan bakal menekmati suasana alam persaraan, saya ucapkan Selamat Bersara, insya Allah, dipanjangkan umur kita akan berjumpa jua.

Terima kasih. Sebuah lagu khas untuk sahabat-sahabat dan teman-teman yang masih mengingati saya.

Kita Insan Biasa - Dayangku Intan & Jay Jay

Christina Aguilera - Hurt

1 comment:

Anonymous said...

suka pula dengan entry ni. kadang-kadang kita akan merasa perkara itu baru berlaku sejam lalu tetapi hakikatnya sudah bertahun. ya begitulah kitarannya hidup ini